Islamic Home Loan and Refinance...Semua Bank dan LPPSA

Proses Kelulusan Pembiayaan Semula Rumah

 

refinance rumah

 Apa yang berlaku setelah anda membuat pembiayaan semula pinjaman perumahan anda?


Ramai yang menyangka, proses pembiayaan semula perumahan hanya mengambil masa yang singkat. Sebenarnya itu adalah tanggapan yang tidak benar. 

Proses kelulusan pembiayaan semula pinjaman perumahan tidak sama seperti proses kelulusan pinjaman peribadi atau pun pinjaman rumah kali pertama dahulu. Ia akan mengambil masa yang sedikit panjang memandangkan terdapat beberapa proses yang perlu dilakukan oleh pihak bank, seperti mengupah jurunilai berdaftar untuk menentukan harga sebenar rumah atau hartanah. Pihak bank juga perlu berurusan dan mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa negeri. Keadaan ini terpakai  untuk hartanah berstatus strata atau hak milik individu. 

Keseluruhan proses pembiayaan semula yang tidak bermasalah, biasanya akan berlangsung antara 2 hingga 3 bulan atau dalam beberapa kes yang memerlukan penelitian yang lebih, proses ini boleh memakan masa sehingga  6 bulan atau lebih lama.

 

Sedikit tips bagi mereka yang ingin menjimatkan masa dan mengurangkan tempoh menunggu proses pembiayaan semula ini, seeloknya semua dokumen jual-beli dan hal-hal berkaitan, disediakan dengan lengkap, termasuklah segala dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan.

Bagi peminjam yang bermasalah dengan skor kredit atau mempunyai rekod kewangan yang kurang baik, pihak bank akan meminta anda untuk menyediakan dokumen sokongan yang lain bagi menyatakan keadaan kewangan semasa anda dan untuk menunjukkan yang anda mampu menyediakan bayaran bulanan kepada pihak bank tanpa gagal selepas pinjaman diluluskan nanti. Tempoh kelulusan dalam kes ini mungkin mengambil masa yang lebih panjang berbanding dengan mereka yang ‘bersih’ dan ‘sihat’ rekod kewangan atau skor kreditnya.

 

Dalam menilai dan mempertimbangkan permohonan anda, pihak bank akan menggunakan khidmat jurunilai bertauliah yang akan bertanggungjawab meneliti keadaan rumah anda dan menyerahkan laporan penilaian lengkap berkenaan keadaan rumah kepada pihak bank. 


Nilai rumah anda akan ditentukan daripada laporan penilaian ini. Kelulusan jumlah pinjaman juga adalah dipengaruhi daripada penilaian ini.

Anda boleh mengetahui lebih lanjut berkenaan penilaian hartanah DI SINI

 

Setelah pinjaman anda diluluskan oleh pihak bank, satu perjanjian pinjaman yang baru perlu ditandatangani di hadapan peguam yang telah dilantik oleh pihak bank. Isi kandungan perjanjian ini, sama seperti pembiayaan kali pertama dahulu, akan disebut di situ tempoh pinjaman baru anda, sama ada anda memendekkan tempoh pinjaman atau memanjangkannya; dan juga kadar bayaran bulanan yang baru juga akan dinyatakan.

 Baki pinjaman yang tinggal di institusi pinjaman lama anda akan diselesaikan terlebih dahulu oleh pihak bank sebelum wang yang berbaki itu nanti disalurkan ke akaun bank anda untuk diuruskan dengan baik.