Hak pemilikan hartanah di
Malaysia terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
• Hak milik induk
• Hak milik individu
• Hak milik strata
Maksud hak milik induk
Dokumen pemilikan bagi hak milik
induk biasanya didaftarkan atas nama pemilik dan/atau pemaju perumahan. Dokumen
ini akan dikeluarkan dalam fasa rumah sedang dibina dan dibangunkan.
Unit-unit perumahan yang telah
dibangunkan ini kemudiannya akan boleh dijual secara hak milik individu atau pun
hak milik strata, mengikut jenis kawasan dan jenis hartanah.
Kebiasaannya, kemudahan bersama yang
terdapat dalam kawasan perumahan seperti taman rekreasi atau padang permainan
kanak-kanak atau pun kolam renang, akan kekal menjadi hak milik induk pemaju
perumahan.
Maksud hak milik individu
Dokumen pemilikan bagi hak milik individu akan dikeluarkan apabila anda menjadi pemilik tunggal sebidang tanah. Jenis hartanah yang termasuk dalam kategori ini ialah seperti rumah berkembar (semi-D), rumah teres dan rumah banglo.
Pemilikan individu ini akan dimohon dan
dikeluarkan sebaik sahaja rumah telah siap dibangunkan. Petak tanah yang
berasingan dan binaan yang terdapat di atasnya akan menjadi milik tunggal
individu yang membeli hartanah tersebut.
Hak milik individu mempunyai
tempoh pegangan atau pemilikan yang tertentu, bergantung kepada jenis tanah.
- Bagi pegangan jenis kekal, pemilik rumah atau hartanah akan berhak ke atas tapak itu selama-lamanya.
- Bagi pegangan jenis pajakan, hak milik individu akan bergantung kepada tempoh pajakan dan selepas tamat tempoh pajakan, tanah perlu dipulangkan kepada pemilik asal seperti kerajaan negeri atau pun perlu membayar amaun premium lanjutan tertentu.
Maksud hak milik strata
Pemilikan jenis strata berlaku dalam kes pembangunan perumahan jenis bertingkat dan mempunyai unit-unit yang berasingan seperti apartment, kondominium dan juga townhouse.
Setiap unit rumah
akan mempunyai pemilik yang berbeza dan mereka akan memegang hak milik strata
untuk unit tersebut. Tanah yang menjadi tapak rumah ini dibangunkan akan kekal
menjadi milik pemaju hartanah.
Kemudahan-kemudahan umum yang
disediakan di dalam atau di kawasan bangunan ini, seperti kolam renang, gimnasium,
club house dan juga lif, adalah kawasan yang dikongsi bersama dan tidak menjadi
milik mana-mana pemilik unit strata.
Bagi pemilik atau penghuni rumah dengan
pemilikan strata, mereka wajib membayar yuran penyelenggaraan dan pengurusan
bangunan. Tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan
enggan membayar yuran ini. Perbadanan pengurusan bangunan juga berhak menarik
hak mengundi anda bagi Mesyuarat Agung Tahunan yang diadakan.
Seorang Pesuruhjaya Bangunan (Commissioner
of Buildings) akan bertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Pengurusan
Strata 2013 bagi tujuan hal ehwal pengurusan bangunan dan penyelenggaraan harta
bersama di kawasan itu.
Bacaan lanjut berkenaan hak milik strata boleh diperolehi DI SINI