Kepentingan Mendapatkan Status Hak Milik Strata
- Hak milik strata membuktikan dan menjamin kepemilikan unit rumah apartment/kondominium yang anda miliki
- Hak milik strata penting untuk urusan pinjaman bank
- Perbadanan pengurusan suatu apartment atau kondominium hanya boleh bermula selepas diselesaikan urusan hak milik strata para pemilik. Seterusnya, yuran penyelenggaraan kemudahan bersama dalam Kawasan apartment atau kondominium boleh ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan.
- Pegangan hak milik strata dapat menyelamatkan anda daripada masalah sekiranya pemaju tidak dapat menyiapkan projek atau menjadi muflis
Bilakah hak milik strata dikeluarkan?
Pemilik atau pembeli rumah boleh menghubungi pemaju yang
terlibat dalam pembinaan rumah dari semasa ke semasa, kerana proses permohonan
hak milik strata akan dilakukan oleh pemaju.
Terdapat akta yang terlibat dalam hal ehwal hak milik strata
ini iaitu Akta Hakmilik Strata 1985 dan juga pindaannya, Akta Hakmilik Strata (pindaan)
2013.
Menurut Akta Hakmilik Strata 1985, pemaju adalah
dipertanggungjawabkan untuk memohon hak milik strata bagi pihak pembeli rumah.
Di bawah Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2013, penyerahan
milikan kosong suatu hartanah atau rumah hanya boleh berlaku selepas hak milik
strata dikeluarkan. Pemaju akan menyerahkan dokumen pemilikan yang menyebut
perihal hak milik strata ketika proses penyerahan kunci kepada pembeli sesebuah
unit rumah.
Hak milik strata yang telah dikeluarkan bagi sebuah unit
hartanah, menjadikan pemilik hartanah atau rumah tersebut boleh menggunakannya seperti pemilikan jenis
individu.
Apa berlaku jika anda tidak mendapat hak milik strata?
Sekiranya urusan pemilikan strata tidak diuruskan dengan
baik atau berlaku sebarang kelewatan pengeluaran hak milik, pemaju masih
mempunyai pegangan induk yang sah untuk hartanah tersebut dan pemilik atau
pembeli rumah hanya mempunyai pegangan hak milik terhad untuk petak rumah yang
telah dibeli. Masalah besar boleh timbul disebabkan hal ini kerana pembeli
tidak dapat membuktikan petak rumah yang dibeli adalah hak milik yang berdaftar
di bawah nama mereka.
Bagi mengelakkan sebarang kesulitan, pembeli rumah boleh
mengambil tindakan menyemak hak milik strata rumah dengan menghubungi Pejabat
Tanah dan Galian di negeri masing-masing atau boleh membuat carian melalui
laman web pihak berkuasa tanah tempatan.
Sekiranya butiran hak milik masih belum diselesaikan, anda
bolehlah terus berhubung dengan pemaju perumahan yang bertanggungjawab dalam
pembinaan rumah anda.