Bagi yang pertama kali ingin membeli rumah, kami sediakan
panduan di bawah untuk membantu memudahkan urusan pembelian hartanah pertama
anda.
1. Tentukan berapa bajet anda
Konsepnya, ukur baju di badan sendiri.Dalam
soal pembelian rumah, ukur kemampuan anda untuk melakukan pembayaran bulanan
secara konsisten kepada pihak bank bagi tempoh yang panjang, kerana biasanya tempoh
bayaran balik pinjaman perumahan ialah sekitar 20-30 tahun.Bagi yang mempunyai
kemampuan kewangan yang lebih, anda mungkin boleh menyelesaikan pinjaman perumahan
lebih awal atau pun mengambil tempoh pinjaman yang lebih pendek.
2. Tentukan jenis rumah yang bersesuaian dengan kemampuan ‘poket’ anda
Pada masa kini terdapat pelbagai jenis
rumah yang pastinya datang dengan pakej kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Tidak ada rumah yang segalanya sempurna. Pastinya ada lebih atau kurang di sana
sini dari segi lokasi, keluasan, pelan lantai dan lain-lain lagi.
3. Tentukan tujuan pembelian rumah
Ada dalam kalangan kita yang membeli rumah
untuk tujuan pelaburan jangkamasa panjang dan ingin menyewakan rumah itu nanti.
Ada yang membeli rumah untuk tujuan menetap di situ bersama keluarga. Tujuan
pembelian rumah penting kerana ianya akan mempengaruhi anda membuat keputusan
soal bajet dan jenis rumah bagaimanakah yang bersesuaian dengan keinginan anda itu nanti.
4. Pilihan lokasi
Lokasi rumah memainkan peranan penting
dalam membuat keputusan pembelian. Rumah yang berada dalam kawasan bandar yang
serba lengkap kemudahan di sekelilingnya, pastinya harganya akan jauh lebih
tinggi berbanding dengan rumah yang terletak jauh dari pusat bandar. Lokasi
rumah juga penting untuk pelaburan jangkamasa panjang kerana harga rumah
sentiasa meningkat naik dari tahun ke tahun.
Setelah jelas jawapan untuk 4 soalan utama
di atas, bolehlah anda memilih sebuah rumah yang terbaik untuk anda miliki. Selepas
membuat meninjau kawasan, melihat rumah atau rumah contoh bagi kawasan
perumahan baru dan kemudiannya membuat keputusan, apakah langkah-langkah
seterusnya?
Anda perlu berurusan dengan pihak bank pula selepas ini bagi
menguruskan hal-ehwal pinjaman perumahan anda.
Bagaimanakah cara untuk ‘apply’ atau memohon pinjaman
perumahan daripada pihak bank? Kami rumuskan langkah-langkah penting di bawah
bagi memudahkan anda melakukan langkah seterusnya.
1. Pastikan anda mempunyai slip gaji atau penyata pendapatan
Dalam hal ini, tidak kiralah sama ada anda
bekerja dengan kerajaan, swasta atau pun menjalankan perniagaan sendiri, slip
gaji adalah ‘bukti’ penting pendapatan anda untuk pihak bank menentukan
kemampuan anda untuk menanggung pinjaman perumahan. Kelulusan pinjaman oleh
pihak bank juga akan banyak bergantung kepada penyata pendapatan anda
2. Pastikan anda mempunyai rekod kewangan yang baik
Skor kredit dalam CCRIS adalah penting
untuk menunujukkan disiplin pembayaran bulanan kepada pihak bank. Pastikan kad
kredit anda digunakan dengan bijak dan dibayar mengikut waktunya. Pastikan
segala pinjaman-pinjaman lain tidak tertunggak dan memburukkan rekod CCRIS
anda. Pinjaman kewangan lain seperti pinjaman peribadi juga akan mempengaruhi
jumlah pinjaman perumahan yang bakal diluluskan kepada anda, jadi uruslah
kewangan dengan bijaksana supaya anda boleh mendapatkan pinjaman perumahan
dengan nilai yang maksimum tanpa perlu membayar deposit yang banyak.
Selain daripada rekod CCRIS, rekod
pembayaran cukai bagi mereka yang ditetapkan membayar cukai kepada Lembaga
Hasil Dalam Negeri juga penting bagi menunjukkan kepatuhan anda kepada
undang-undang dan faktor ini juga mempengaruhi kelulusan pinjaman terutama bagi
mereka yang menjalankan perniagaan sendiri atau mempunyai pendapatan daripada
syarikat.
3. Pastikan dokumen-dokumen sokongan lengkap
Selepas membuat pemilihan rumah, anda perlu
berurusan dengan pihak pemaju atau pun terus dengan pihak bank bagi urusan
permohonan pinjaman.
Antara dokumen-dokumen yang perlu
disediakan adalah:
- Borang ‘booking’ rumah
- Penyata gaji tiga bulan terkini
- Penyata bank tiga bulan terkini
- Salinan kad pengenalan pembeli
- Penyata KWSP atau borang EA
- Dokumen sokongan bagi mereka yang mempunyai sumber pendapatan sampingan seperti sewaan rumah, saham dan sebagainya
Pihak bank biasanya akan membuat penilaian
dan menentukan sama ada permohonan pinjaman anda lulus atau pun tidak dalam
tempoh lebih kurang 2 minggu. Anda perlu menandatangani surat tawaran pinjaman
daripada pihak bank selepas proses kelulusan selesai. Baca dan fahamkan
betul-betul apa yang dinyatakan dalam perjanjian tersebut bagi memastikan amaun
pinjaman yang anda mohon,seperti margin pinjaman dan segala yuran berkaitan,
adalah tepat.
Selepas bank meluluskan pinjaman perumahan,
anda perlu berurusan pula dengan pihak peguam yang akan menguruskan perjanjian
jual beli rumah.