Apakah perkara yang perlu
dipertimbangkan sebelum melakukan ‘refinancing’ atau pembiayaan semula ke atas
pinjaman perumahan anda?
i. ‘Lock in period’ pembiayaan semula pinjaman perumahan
Pihak bank biasanya akan
menetapkan satu ‘lock in period’ yang perlu dipatuhi dengan tujuan mengelakkan peminjam
menjual rumah mereka terlalu awal sebelum melunaskan bayaran faedah dan
bahagian pokok pinjaman.
Kebanyakan bank menetapkan tempoh
3 tahun sebagai ‘lock in period’ dan ada juga bank yang memanjangkan tempoh
sehingga 5 tahun. Sekiranya peminjam menjual rumah atau hartanah mereka lebih
awal daripada tempoh ‘lock in period’ yang telah ditetapkan dalam perjanjian
pinjaman, mereka akan dikenakan bayaran denda 2 hingga 5 peratus daripada
jumlah pinjaman. Jumlah denda ini adalah berbeza mengikut bank.
ii. ‘Running cost’ pembiayaan semula
Perlu difahami dengan jelas
bahawa setiap pembiayaan semula pinjaman atau refinancing akan melibatkan
kos-kos tertentu yang perlu dijelaskan oleh peminjam. Antara kos-kos yang
terlibat ialah:
yuran pemprosesan bank,
yuran undang-undang,
duti setem,
yuran pembayaran,
yuran perjanjian MRTA dan S&P
baru.
Melakukan pembiayaan semula
sebenarnya menjadikan anda seperti membuat perjanjian pinjaman yang baru. Peminjam
akan perlu menanggung kos yang sama seperti anda mula-mula membuat pinjaman perumahan
kali pertama dahulu.
Anggaran kasar bagi kos-kos ini
adalah sekitar 2 hingga 3 peratus dari jumlah pinjaman anda.
iii. Laporan CCRIS atau CTOS
Laporan CCRIS ialah satu laporan
yang dikeluarkan melalui pihak bank negara yang akan memaparkan kedudukan
kredit anda. Laporan ini menunjukkan kesihatan kewangan semasa anda termasuk
senarai pinjaman bank, aset dan liabiliti semasa anda dan juga sebarang rekod kes
kemuflisan atau senarai hitam.
Pihak bank akan meneliti laporan
CCRIS anda sebelum meluluskan sebarang pinjaman yang baru. Laporan ini boleh
diperolehi dengan berkunjung ke cawangan Bank Negara yang berdekatan ataupun
melalui agensi bebas CTOS.
iv. Bandingkan pakej pinjaman pembiayaan semula rumah antara bank-bank
Sebagai peminjam yang bijak, anda
perlu meluangkan sedikit masa untuk melakukan perbandingan tawaran pakej
pinjaman dan kadar faedah yang dikenakan oleh setiap bank. Setiap bank pastinya
menawarkan pakej pinjaman yang berbeza-beza.
Terdapat bank yang menawarkan
pinjaman secara Islamik dan ada yang menyediakan pinjaman secara konvensional.
Pinjaman perumahan juga boleh berbeza dari segi kadar faedah tetap atau terapung,
pinjaman fleksibel, pinjaman semi-fleksibel dan juga pinjaman bertempoh tetap
bayaran baliknya.
Teliti dengan baik pakej
pembiayaan ini supaya anda boleh membuat keputusan yang paling sesuai dengan
keadaan kewangan semasa anda.
Tindakan anda melakukan ‘refinancing’
atau pembiayaan semula pinjaman perumahan ini sepatutnya diambil dengan
objektif yang jelas dan memberi manfaat untuk anda dari segi jangkapanjang.
Buat kiraan yang betul atau dapatkan khidmat nasihat daripada perunding
bertauliah supaya anda boleh mendapatkan ansuran bulanan pinjaman yang lebih
rendah dan tidak terperangkap membayar jumlah kadar faedah yang lebih, disebabkan
tempoh pinjaman yang dipanjangkan.