Islamic Home Loan and Refinance...Semua Bank dan LPPSA

Penilaian Hartanah

penilaian hartanah

 

Artikel ini mungkin boleh memberi sedikit maklumat penting bagi anda yang mempunyai rancangan untuk menjual rumah, membuat pembiayaan semula pinjaman perumahan atau pun sedang mempertimbangkan untuk membeli rumah ‘sub-sale’ dan ingin memohon pembiayaan perumahan daripada pihak bank.

Penilaian hartanah  perlu difahami dengan jelas supaya pemilik rumah  dapat memperolehi keuntungan yang sepatutnya daripada jualan rumah.

Bagi pembeli pula, pengetahuan mengenai nilai hartanah atau 'market value' rumah, sangat penting supaya anda lebih mudah berunding dengan pemilik rumah bagi mendapatkan harga belian yang berpatutan dan tidak terlalu membebankan poket anda nanti.

 

Apakah maksud penilaian hartanah atau penilaian rumah?

 

Di Malaysia, penilaian hartanah dilakukan dengan tujuan untuk menentukan nilai semasa atau harga jualan rumah yang anda miliki sekarang ini.

Pihak bank hanya akan menjadi penyedia kewangan sahaja dan tidak mempunyai kuasa melakukan penilaian ke atas hartanah atau rumah anda.


Tugas membuat penilaian hartanah hanya boleh dilakukan oleh penilai profesional yang berdaftar  dengan Lembaga Penilai, Penilai dan Ejen Harta Tanah & Pengurus Harta (BOVAEP) Malaysia. Urusan penilaian ini adalah termasuk di bawah Jadual Ketujuh Peraturan Penilai, Penilai dan Ejen Estet 1986.

Penilai berdaftar ini bertanggungjawab untuk memberi laporan kepada bank, yang kemudiannya akan menentukan tanda aras pinjaman yang layak diberikan kepada anda.


Pemilik asal rumah juga boleh mengambil khidmat penilai hartanah bagi mengetahui dan memastikan harga jualan minimum bagi rumah mereka, sebelum bertemu dan berunding dengan calon-calon pembeli.

 

Sebagai contoh:

Anda telah membuat perjanjian jual beli untuk membeli rumah yang berharga RM600,000 dan  telah membuat permohonan pinjaman perumahan kepada bank. Pinjaman tidak akan terus diberikan, sebaliknya pihak bank akan melantik seorang penilai bertauliah untuk menilai rumah yang anda ingin beli itu dan menyediakan laporan bertulis.

Setelah laporan dikeluarkan, rumah itu hanya bernilai RM550000 sahaja. Pihak bank seterusnya akan menetapkan tanda aras pinjaman berdasarkan laporan penilaian dan juga skor kredit pembeli rumah. Berdasarkan laporan penilaian ini, pihak bank telah bersetuju untuk memberikan pinjaman bernilai 90 peratus daripada nilai semasa rumah yang terdapat dalam laporan penilai. Terdapat juga bank yang akan memberikan nilai pinjaman dengan peratusan yang lebih rendah, dan semuanya akan bergantung kepada skor kredit pembeli tadi.

 

Terdapat bayaran tertentu yang perlu ditanggung oleh pembeli dalam urusan penilaian hartanah atau rumah ini.

Berikut adalah bayaran penilaian di Malaysia, berdasarkan rujukan daripada iproperty


Untuk nilai RM100,000.00 pertama = 0.25%

Baki seterusnya hingga RM2 juta = 0.2%

Baki seterusnya hingga RM7 juta = 0.167%

Baki seterusnya hingga RM15 juta = 0.125%

Baki seterusnya hingga RM50 juta = 0.10%

Baki seterusnya hingga RM200 juta = 0.067%

Baki seterusnya hingga RM500 juta = 0.05%

Baki seterusnya lebih daripada RM500 juta = 0.04%

 

Di Malaysia, penentuan nilai sesuatu hartanah atau rumah biasanya menggunakan kaedah perbandingan penjualan yang mengambil kira nilai hartanah yang diperdagangkan dalam tempoh terdekat. Nilai ini diperolehi dari Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Tanah (JPPH).

 Penilai hartanah akan membuat beberapa penilaian tambahan dan penyesuaian yang dipengaruhi oleh faktor keadaan hartanah, lokasinya, kemudahan berdekatan dan sebarang pengubahsuaian yang telah dilakukan oleh pemilik .

Rumah atau hartanah yang terletak bersebelahan dan dalam kawasan perumahan yang sama, belum tentu mempunyai nilai dan harga yang sama.